Kalau lah kita boleh memilih hidup kita, kan seronok? Sebenarnya tak ramai manusia di luar sana seperti aku. Aku yakin bahawa aku tergolong di kalangan mereka yang terhebat. 

Tak ramai yang mampu bertahan dari zaman remaja sehingga ke pertengahan usia, dengan  membawa perasaan kekosongan . Sehingga sekarang aku masih mencari siapa sebenarnya aku. Beberapa tahun lagi mungkin kecomelan ini akan berkurang. Yang tinggal hanya lah garisan-garisan kematangan di wajah. Itu aku pasti.

Aku cemburu dengan mereka-mereka yang mempunyai jalan cerita yang mudah. Lahir ke dunia, belajar bertungkus-lumus, berkerja, mencapai impian, berkahwin/ tidak berkahwin, bahagia. Namun jalan cerita aku bukan sebegitu.

Yang aku kesalkan adalah manusia-manusia sebegini yang tak tahu bersyukur. Melihat manusia lain dan merasa diri telah hebat. Punya segalanya seakan semua itu adalah kerana hasil usaha diri sendiri, dengan tidak menyedari bahawa semua itu adalah kerana kehendak dariNya, bukan semata-mata kerana usaha.